Pada tanggal 29 Ogos 2025, warga Qminds telah bersama-sama meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-68 dengan penuh semangat dan kegembiraan. Program ini diadakan bagi memupuk rasa cinta akan negara serta menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan murid, guru dan seluruh warga sekolah.




Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri serta bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh barisan pengawas sekolah. Suasana penuh khidmat ini berjaya menyemarakkan semangat cintakan tanah air.
Seterusnya, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, antaranya:
- Perhimpunan rasmi & nyanyian lagu patriotik
- Pertandingan pakaian bertemakan Jalur Gemilang oleh pelajar dan guru
- Persembahan pantun
- Deklamasi sajak
Kemuncak sambutan adalah persembahan tarian patriotik dan nyanyian lagu-lagu kemerdekaan yang menghidupkan lagi suasana perayaan. Murid-murid begitu bersemangat sambil mengibarkan Jalur Gemilang kecil sebagai tanda kasih dan bangga terhadap tanah air tercinta.
Guru besar Ustaz Faris dalam ucapannya menekankan bahawa kemerdekaan bukan sahaja sekadar mengibarkan bendera tetapi juga mengingatkan kita tentang pengorbanan pejuang terdahulu yang telah memastikan negara ini bebas dan berdaulat. Beliau turut mengajak seluruh warga sekolah untuk sentiasa bersatu hati, berdisiplin serta berusaha menjadi generasi yang berilmu demi kemajuan negara.
Sambutan pada tahun ini bukan sahaja meninggalkan kenangan manis tetapi juga berjaya menyemai semangat patriotisme yang mendalam dalam kalangan pelajar. Semoga dengan adanya program sebegini, warga Qminds akan terus menghargai erti kemerdekaan dan sentiasa berusaha mengekalkan keamanan serta kemakmuran tanah air.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
